Wednesday, December 31, 2008

Hati..



"Demi Masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan kebajikan dan saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

(Al-‘Asr: 1-3)


Telah menjelangnya tahun baru 2009, maka akan bermulalah lagi satu episode yang baru dalam kehidupan setiap insan. Masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Usia kita semakin meningkat, begitu juga dengan usia tarbiyah bagi orang yang mendapat tarbiyah. Tapi satu persoalan yang mungkin kita boleh renungkan bersama, adakah usia tarbiyah yang semakin meningkat ini mampu menjadikan kita seorang ikhwah/akhwat yang matang? matang dalam berfikir dan bertindak? (pertanyaan untuk diri sendiri terutamanya)


Soal hati..

“Ketahuilah, bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rosak maka rosaklah pula jasad itu. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah Qalb (hati)(HR Bukhari dan Muslim)


Hati adalah tempat yang terpenting dalam diri manusia yang harus dijaga terlebih dahulu. Bagi mereka yang meletakkan dirinya di kelompok pembela Islam terutamanya, maka seharusnya menjaga hati dengan sebaik mungkin. Memang setiap manusia tidak pernah tidak melakukan kesalahan dan dosa, kerana manusia diciptakan dalam keadaan lemah dan sering lupa. Tapi, jika kita sudah menginsafi kesalahan dan tahu bahawa apa yang telah dilakukan sebelum ini adalah satu kesilapan, maka kita harus menjaga hati agar tidak mengulangi lagi kesilapan yang sama. Yang lebih menyedihkan apabila, mereka yang melakukan kesilapan itu tahu bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kesilapan tapi tidak ada kekuatan untuk mengelak akibat terpedaya dengan nafsu.


“...Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah” (2:120)


Mungkin bukan menjadi perkara atau masalah baru jika menyebut tentang ikhwah dan akhwat dari kelompok mana sekalipun, tidak ataupun kurang menjaga iktilat. Sering kali kita mungkin mendengar tentang masalah ini dan mungkin sering kali juga ditegur tapi tetap ia tidak pernah berkurang, malah mungkin semakin jauh. Mungkin kerana kefahaman yang berbeza antara orang yang menegur dengan orang yang ditegur. Contohnya: akhwat A mendapat tahu bahawa akhwat B selalu bersms dengan seorang ikhwah, jadi akhwat A menegur akhwat B dengan cara berkias dengan berkata “kita seharusnya sama-sama menjaga iktilat dan menjaga hati dengan sebaiknya, jangan biarkan hati dikotori dengan sebarang jenis maksiat”. Tujuan akhwat A berkata begitu adalah untuk menegur akhwat B kerana dari kefahaman akhwat A, bersms perkara yang tak penting dengan orang yang berlainan jantina sudah tergolong dalam mereka yang tidak menjaga iktilat dan dalam masa yang sama kurang menjaga kesucian hati. Tapi mungkin bagi kefahaman akhwat B, jika hanya sekadar bersms dan bukannya bercouple tidak tergolong dalam golongan orang yang tidak menjaga iktilat. Akhirnya, oleh kerana kefahaman yang berbeza ini, teguran daripada akhwat A tidak dirasakan sebagai teguran bagi akhwat B kerana dia tidak faham apa yang dimaksudka oleh akhwat A… Oleh itu, adalah lebih baik akhwat A berterus terang sahaja…


Walaupun tidak dinafikan terdapat jugak ramai akhwat/ikhwah yang faham dan tahu apa yang dimaksudkan dengan menjaga iktilat, tapi masih tetap tidak menjaga iktilat… Ini kerana seperti yang disebutkan sebelum ini, mereka telah kalah dengan nafsu..


Secara pendapat peribadi, adalah tidak wajar seorang akhwat sering berhubungan dengan ikhwah samada melalui sms atau YM dan membincangkan perkara yang tidak penting langsung, apatah lagi bergurau walaupun hanya melalui sms. Tidak juga sepatutnya ada sesi luahan perasaan sedih dan gembira ataupun berkongsi rahsia antara mereka..... bila sekali sudah berhubungan, ia akan terus berpanjangan dan sangat sukar untuk berhenti walaupun terdetik di hati masing-masing untuk berhenti kerana sedar apa yang dilakukan adalah satu kesalahan... Kenapa sukar untuk berhenti?... Mungkin kerana telah timbulnya keterikatan antara mereka, atau mungkin kerana telah timbulnya masalah-masalah antara mereka yang harus diselesaikan.. jadi, akhirnya sukarlah untuk berhenti… ia akan hanya dapat diatasi dengan mujahadah dan tekad diikuti dengan keinsafan yang tinggi untuk tidak mengulangi lagi..


“Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk” (17:32)


Jika saling berhubungan melalui sms atau YM ini terus dilakukan, maka… sejauh manakah hati dapat bertahan untuk tidak timbulnya perasaan ****? Jika saling berhubungan itu adalah ikhwah dan akhwat dari 1 kelompok yang sama terutamanya, maka lebih berbungalah hati dan lebih terbukalah peluang untuk ke jinjang pelamin... Mungkin akan naik ke satu tahap lagi, iaitu berani memberi barang atau hadiah… perbuatan ini pasti akan mengganggu hati si pemberi dan si penerima… Seorang yang bergelar ikhwah pastilah hatinya lebih cenderung kepada seorang yang bergelar akhwat, begitu juga dengan seorang yang bergelar akhwat pasti akan lebih cenderung kepada seorang yang bergelar ikhwah…lumrah… lumrah manusia nakkan sesuatu yang baik.. sedangkan lelaki/perempuan yang jahat pun pasti akan sukakan lelaki/perempuan yang baik.. Oleh itu, jagalah hati, elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengotori hati... ini akan dapat mengelakkan perasaan kecewa dan sedih pada masa akan datang jika apa yang berlaku tidak seperti apa yang diharapkan.


Ada pula sesetangah ikhwah atau akhwat yang tidak bersms dengan orang yang berlainan jantina. Tapi, apabila berjumpa dengan mereka yang berlainan jantina samada ikhwah ataupun akhwat, ataupun berjumpa dengan perempuan ataupun lelaki biasa.. dengan slambernya bersembang, tidak langsung menjaga pandangan, boleh bersenda guray bersama dan agak kurang rasa malu… Dan ada jugak ikhwah/akhwat apabila berjumpa dengan akhwat/ikhwah seperjuangan yang berlainan jantina, berusaha bersungguh-sungguh untuk menundukkan pandangan dan membataskan pergaulan tapi, apabila berjumpa dengan mereka yang bukan bergelar ikhwah /akhwat, tidak pula menundukkan pandangan dan membataskan pergaulan…. Jika kita sendiri tidak menjaga pergaulan, kemudian ada lelaki atau perempuan lain yang datang mengganggu, adakah kita boleh katakan bahawa kita diganggu??.. sedangkan dalam masa yang sama kita sendiri yang membuka ruang untuk diganggu..


Peringkat yang lebih jauh adalah couple.. ramai lagi yang tak sedar ataupun buat tak sedar tentang kesalahan couple.. ikhwah couple dengan akhwat dan bertunang bertahun-tahun, saling berhubung mengikat janji dan meluahkan rasa cinta dan sayang.. sedangkan mereka bukan orang yang calang-calang, malah mungkin dikenali ramai dengan ketinggian ilmunya, kehebatan kata-katanya, dan baik penampilannya… dan lebih menyedihkan apabila berlaku peristiwa di mana si ikhwah menyatakan kepada si akhwat, jika hubungan (pertunangan) mereka putus, ikhwah tersebut sanggup bunuh diri.. BUNUH DIRI???.. IKHWAH???... sangat mengejutkan dan memeranjatkan.. dan juga lucu sehingga tergelak dengan ‘kemengarutan’nya.. inikah dia bukti cinta sejati?.. tidak gunalah buku-buku yang di baca, ilmu yang diperolehi, serta kata-kata jihad, kata-kata pengorbanan, ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang dilafazkan kerana dia sendiri tidak dapat menghayatinya langsung…


“… Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sungguh, Allah Maha Penyayang kepadamu” (4:29)


Adakah dia tidak pernah mendengar ayat ini?... Adakah tidak pernah tahu hukum membunuh diri?.. Sungguh, Allah lah yang Maha Penyayang kepada hamba-Nya, kerana itu Allah melarang hamba-Nya menzalimi diri sendiri. Dan sepatutnya kita juga harus mencintai dan membuktikan cinta kita kepada Allah satu-satunya.. tepuk dada tanya iman.. fikirlah… malas untuk mengulas lebih lanjut kerana pastinya setiap orang pun faham terutamanya mereka yang mempelajari dan mengajari agama.. Sedangkan mereka yang tidak mengerti apa-apa pun tahu kesalahan perkara itu dan menjauhinya.


Ada juga yang bercouple tapi tidaklah sampai tahap nak bunuh diri seperti diatas.. tapi, bila sebut sahaja couple pastinya akan pernah bersms, dan hati penuh dengan maksiat, penuh dengan bunga-bunga cinta terhadap manusia, ada pulak yang berani keluar dating.. bila diketahui dan ditegur oleh rakan seperjuangan yang lain, dia takkan mengaku bahawa apa yang dilakukannya itu adalah termasuk dalam istilah ‘dating’… couple islami mereka katakan, sedangkan itu jauh daripada islam yang mengajak kepada pembersihan hati.. sebenarnya ramai ikhwah dan akhwat dari mana-mana sahaja sudah jelas tentang masalah ini, tapi masalah ini masih tetap berlaku.. Benarlah, peringatan itu harus diulang berkali-kali.. Sungguh, dunia ini adalah tempat ujian Allah SWT..


“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya(18:7)


Jika timbul rasa cinta pada manusia (yg berlainan jantina tanpa sebarang ikatan)... Sungguh cinta itu hanyalah perasaan.. dan hatilah yang membuatkannya indah. Cinta itu adalah anugerah, kerana ia datang dengan sendiri tanpa dipinta… tapi, cinta itu ada batasannya.. selagi mana kita tahu bahawa cinta kepada Allah dan Rasulullah yang harus diutamakan, maka kita pasti akan mampu mengawalnya… Tidak perlu meluahkan rasa cinta kepada orang yang dicintai, kecuali kata-kata lamaran yang dahulu keluar dari bibir.. Jika belum tiba masanya, maka diamkan sahaja di dalam hati sehingga Allah menentukan ketetapan-Nya.. dan dalam masa yang sama hati orang yang dicintai juga tidak terganggu.. Maka kedua-dua hati akan selamat.


Sekali lagi, tiada manusia yang sempurna. Siapapun manusia itu samada ustaz, ulama, mujahid, syeikh, semuanya tidak lepas daripada melakukan dosa-dosa dan kesilapan.


“Demi yang diriku ada ditangan-Nya, sekiranya kalian tidak berdosa, maka Allah benar-benar akan mematikan kalian, lalu Dia mendatangkan suatu kaum yang berdosa, lalu mereka memohon ampun kepada Allah, maka Allah pun mengampuni mereka.” (HR Muslim)


Adalah menjadi satu kemestian bagi setiap insan melakukan dosa. Diri ini juga tidak sempurna dan sering melakukan kesilapan demi kesilapan ditambah dengan segala kelemahan yang ada. Oleh itu, sama-sama lah kita muhasabah diri, renungkan kembali apa yang telah kita lakukan agar kita dapat sama-sama menginsafi segala dosa yang telah dilakukan. Berdoalah semoga Allah menunjukkan kita jalan yang benar dan lurus untuk dilalui, dan ketetapan hati untuk terus istiqamah, serta diberi-Nya kekuatan untuk mengubah diri menjadi yang lebih baik untuk menempuh hari esok yang lebih mencabar. Masa yang berlalu tidak mungkin akan dapat ditarik balik, oleh itu biarkan yang telah berlaku itu berlalu, kerana keinsafan hari ini akan memberi cahaya yang lebih terang untuk masa hadapan. InsyaAllah..


“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (dengan perbuatan-perbutan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (39:53)


Semua adalah untuk peringatan diri sendiri terutamanya. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah SWT, dan yang buruk itu datang daripada diri yang serba lemah..


“Kebajikan apa pun yang kamu peroleh, adalah dari sisi Allah, dan keburukan apa pun yang menimpamu, itu dari (kesalahan) dirimu sendiri” (4: 79)

0 comments: