Saturday, September 19, 2009

Eid Mubarak


'Taqabbalallahu minna waminkum (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)'..

Eid Mubarak buat semua yang membaca blog ini.. Di sini, saya ingin memohon maaf atas segala kesilapan yang pernah dilakukan samada sengaja atau tidak sengaja.. Semoga Ramadhan yang telah berlalu meninggalkan seribu makna dan menjadi Ramadhan yang terbaik yang pernah kita lalui, dan Aidilfitri kali ini menjadi satu tanda kemenangan buat diri kita kerana telah berjaya melalui Ramadhan dengan berjaya.. Aminn..

Bergembiralah di Aidulfitri dengan laungan takbir kemenangan..

Wednesday, September 16, 2009

Selamat ber ‘qiyamullail’ di malam Laila al-Qadar..
















“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam (Lail) al-Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam (lail) al-Qadar? Malam (lail) al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turunlah malaikat jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar” (al-Qadar (97): 1-5).

Surah di atas sebuah surah khusus yang diturunkan oleh Allah SWT tentang keistimewaan Lailatul Qadar. Antara keistimewaan malam Lailatul Qadar seperti yang dijelaskan di dalam surah tersebut ialah 1) Allah menurunkan Al-Quran pada malam ini. 2) Malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. 3) Para malaikat termasuk malaikat jibril turun membawa ketetapan bagi segala urusan dalam kehidupan

“carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan” (Sahih: dikeluarkan oleh Bukhari di dalam sahihnya)

“Carilah pada sepuluh malam terakhir, yakni Lailatul Qadar. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah ia kalah (putus asa) pada baki tujuh malam yang terakhir” (Sahih: dikeluarkan oleh Muslim dalam sahihnya)

Mulai sepuluh malam terakhir bulan ramadhan, kita digalakkan untuk memperbanyakkan solat malam (qiyamullail). A’isyah (ra) menerangkan bahawa rasulullah saw apabila memasuki 10 malam terakhir, baginda mengasingkan diri daripada isterinya (tidak bersetubuh) dan menghidupkan waktu malam dengan qiyamullail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamullail. (Sahih Muslim)

A’isyah ra juga menerangkan bahawa dia pernah bertanya kpd Rasulullah saw “Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu apabila aku mendapati satu malam daripada lailatul qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab:"Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa, fa’fu’anni" (Ya, Allah, sesungguhnya Engkau adalah yang maha Pengampun lagi Maha mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku) [sahih: dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di salam sahih sunan Ibn Majah]

Qiamullail seperti yang kita tahu adakah perkara sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan bagi mereka yang ingin mendapatkan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT bukan sahaja pada bulan Ramadhan, malah juga pada bulan lainnya.

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadah kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri” (Al-Furqan: 64).

“Keadaan yang membuat hamba paling dekat dengan Rabbnya ialah ketika dia dalam keadaan sujud. Maka perbanyakkanlah doa (saat sujud itu)” (Diriwayatkan oleh Muslim, Abu daud dan al-Nasa’i)

Al-Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud dari Nabi SAW baginda bersabda:
“Rabb kita takjub terhadap dua orang, iaitu terhadap seseorang yang meninggalkan tempat tidur dan selimutnya di antara keluarga dan orang yang dicintainya untuk mengerjakan solat. Maka Allah berfirman: “Lihatlah hamba-hamba-Ku yang meninggalkan tempat tidur dan selimutnya di antara orang yang dicintainya dan keluarganya untuk mengerjakan solat, kerana menyukai apa yang ada di sisi-Ku dan takut apa yang ada di sisi-Ku." Begitu pula seseorang yang berperang di jalan Allah, yang rakan-rakannya mengalami kekalahan dan dia tahu apa yang akan terjadi padanya dalam kekalahan dan apa yang didapatinya jika kembali. Maka ia kembali hingga darahnya tertumpah. Maka Allah berfirman: “Lihatlah hamba-Ku yang telah kembali, kerana mengharapkan apa yang ada di sisi-Ku dan takut apa yang ada di sisi-Ku, hingga darahnya tertumpah”

Kedua-dua orang yang disebutkan di atas, sama-sama berjihad dan berjuang. Yang pertama, berjuang menghabiskan waktu malamnya untuk mencari keredhaan Allah. Yang kedua, berjihad mengorbankan jiwa hingga darahnya tertumpah ke bumi.

Allah telah menyifatkan orang-orang yang bertaqwa dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka disana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar (memohon ampun) kepada Allah” (Adz-Dzaariyat: 15-18)

Abu Malik al-Asy’ari bertanya:
“Diperuntukkan bagi siapakah syurga itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Bagi orang yang berkata baik, memberi makanan dan yang mendirikan solat malam ketika manusia sedang tidur” (Diriwayatkan al-Hakim)

Abdullah bin Salam berkata:
“Ketika pertama kali Rasulullah SAW menjejakkan kaki di Madinah, maka orang berkerumun mengelilingi baginda, dan aku termasuk mereka yang berkerumun. Setelah kuamati dan kuperhatikan wajah baginda, maka aku tahu wajah itu bukanlah wajah pendusta. Perkataan yang pertama kali ku dengar daripada baginda ialah: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, jalinlah hubungan persaudaraan dan solatlah pada waktu malam ketika manusia tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan sejahtera” (Diriwayatkan Ahmad dan al-Tarmidzi)

Berdasarkan daripada firman Allah SWT dan kalam Rasulullah SAW, ganjaran yang besar Allah SWT berikan kepada hamba-Nya yang sentiasa mengutamakan qiyamullail dalam kehidupannya seharian. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana pula besarnya ganjaran yang Allah berikan jika kita melakukan qiyamullail pada Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan dan penuh dengan keistimewaan. Malam yang diberikan kpd hamba-Nya yang terpilih, jadi berusahalah untuk menjadi insan terpilih itu..

Selamat ber ‘qiamullail di lailatul qadar..

(Rujukan: Amalan-amalan di bulan Ramadhan, Hafiz Firdaus Abdullah; 12 peribadi cemerlang ibadurrahman:ciri yang disebutkan 1500 tahun lalu, Yusuf al-Qaradhawiy]