Sunday, September 21, 2008

Persaudaraan adalah syi’ar dakwah



Persaudaraan ataupun dengan sebutan yang lebih islami dipanggil ukhwah adalah antara perkara penting yang harus dititik beratkan bagi meneruskan keseimbangan dan kesinambungan dakwah yang dilakukan. Namun, sebelum membincangkan topik ukhwah, perkara pertama yang harus dibincangkan ialah iman dan taqwa.

Langkah pertama adalah mengukuhkan landasan iman dan taqwa. Iman kepada Allah diperlukan bagi mengukur kebenaran nilai-nilai yang dianuti dan terealisasinya definisi yang benar bagi kema’rufan dan kemungkaran. Iman juga diperlukan agar para daie yang menyeru manusia kepada kebaikan, beramal ma’ruf dan nahi mungkar, bisa terus memempuh jalan-jalan yang berat dan memikul segala akibat, saat menghadapi kejahatan yang telah mencapai puncak kekuatannya, atau saat menghadapi kekuatan nafsu syahwat yang sedang menyala dengan hebat, atau saat menghadapi kefuturan rohani yang melemahkan tekad dan memberi tekanan. Bekalnya kita adalah iman dan sarana kita adalah iman, sedang sandaran kita hanyalah Allah SWT.
Taqwa pula akan mendorong pelakunya menunaikan hak Allah Yang Maha Mulia. Taqwa yang sebenar adalah taqwa yang membuat pelakunya tidak pernah lalai sepanjang hidupnya hingga ajal datang menjemput.
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya” (Al-Imran: 102)
Setiap kali hati manusia menjalankan ketaqwaan, maka akan terbukalah baginya cakerawala yang luas dan membuatkannya selalu ingin tahu. Setiap kali ia mendekat kepada Allah dengan ketaqwaan maka akan tergugahlah kerinduannya untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi dari apa yang telah dicapainya, dan merindukan darjat yang ada diatas apa yang telah diraihnya, selalu memandang kearah kedudukan yang lebih tinggi hingga hatinya selalu tergugah dan tidak pernah tidur.
Ini adalah perkara pertama dan terpenting yang menjadi asas tertegaknya jama’ah kaum muslimin. Tanpa adanya perkara asas ini, setiap perhimpunan yang dibuat akan menjadi perhimpunan jahiliyyah dan tidak ada manhaj Allah yang menjadi wadah bagi terhimpunnya suatu umat.

Kedua adalah persaudaraan. Iaitu persaudaraan kerana Allah dan berlandaskan manhaj Allah untuk merealisasikan manhaj Allah.
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan jangan kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah telah menyelamatkan kamu daripadanya….” (Al-Imran: 103)
Persaudaraan ini adalah persaudaraan yang lahir dari taqwa dan islam. Persaudaraan yang menuju kepada tali Allah ini adalah nikmat yang Allah berikan kepada kaum muslimin, iaitu nikmat yang sentiasa diberikan Allah kepada orang-orang yang dicintai-Nya dari hamba-hamba-Nya. Dia atas dasar keimanan serta persaudaraan inilah manhaj Allah dapat ditegakkan di muka bumi.
Daripada pengertian ini, maka usaha mengukuhkan kembali persaudaraan merupakan bahagian penting dari cara menghidupkan fiqih dakwah. Kerana persaudaraan merupakan aturan dakwah kita, syiar dan sebutannya. Ia merupakan satu janji yang mengikat diri kita dan keharusan yang ditetapkan oleh dakwah. Dakwah harus berterusan melahirkan pedoman-pedoman baru sebagai hasil pengalamannya yang berulang-ulang, sehingga mendorong untuk segera mencari segala macam sarana untuk menghimpunkan semua pendokong dakwah untuk saling mencintai, bergotong-royong, saling merasa senasib sepenaggungan dan saling bertoleransi. Dakwah ini akan mencapi puncak keberhasilan bila kita telah melihat adanya kesatuan hati dan nurani sesudah kesatuan pandangan, fikiran, cita-cita, harapan dan kesudahan, bahkan kesatuan kata. Sehingga tidak ada lagi melainkan satu semboyan.
Demikianlah kedudukan persaudaraan sangat penting diantara para daie dalam tarbiyyah. mana-mana aktivis gerakan islam yang tidak mengambil berat tentang erti persaudaraan keimanan yang sebenarnya pasti akan menemui kegagalan akibat sikap suka ambil lewa dan kelalaiannya terhadap pentingnya makna persaudaraan ini. Tidak ada jalan lain melainkan harus kembali dari permulaan dengan menempuh jalan iman dan taqwa terlebih dahulu.
Kita haruslah bertoleransi terhadap sesama saudara bila mana ada seseorang melakukan kelalainan atau bersikap melampaui batas. Sebagaimana etika persaudaraan yang mengajar kita untuk bersikap memberi imbalan, teguran dan nasihat, memberi kemaafan, kesetiaan dan ucapan terima kasih. Pengertian inilah yang telah mengajar para daie terdahulu dan masa kini dalam taushiyah mereka untuk menekankan sikap berlapang dada dan mempererat tali kasih persaudaraan.

Mungkin perkara ini telah pun disedari oleh sebilangan orang di luar sana yang telah berada di kelompok dakwah dan tarbiyyah, tapi sejauh manakah kita dapat merasai dan menghayati ruh ukhwah islam yang sebenar?


Adakah selama ini kita hanya sekadar menumpang nikmat hidup di bawah naungan tarbiyyah, menumpang kerana dapat bersama ikhwah dan akhwat fillah, menumpang ingin popular di jalan dakwah, menumpang mencari nama dan posisi di dalamnya?... Tanpa kita merasai sedikit pun nikmat dakwah dan ukhwah dan tidak berusaha meraihnya?..


Jika kita begini, tidak ingin dan tidak mahu merasai nikmat ukhwah dan perit jerih jalan dakwah, maka ia adalah satu kesilapan dalam pemahaman. Mungkin selama ini kita hanya ikut-ikutan kerana di ajak mengikut jalan ini, Jadi sekarang sudah tiba waktunya untuk kita cuba untuk memahami apa yang kita lalui ini.. Semoga Allah SWT menyayangi diri kita dan menunjukkan kita jalan yang penuh dengan redha dan rahmat-Nya.. Wallahualam..

(Rujukan: Pelembut Hati, Muhammad Ahmas ar-Rasyid; Quantum Tarbiyah mencetak kader serba bisa, Solikhin Abu Izzuddin)

No comments: