Sunday, October 19, 2008

Jodoh dan Takdir.

“Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih daripada apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)” (An-Nur, 24:26).

Memilih pasangan hidup bukannya mudah, tapi dengan adanya keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah, akan membuatkan semua orang bisa tenang dan tenteram.
Ayat al-Quran di atas adalah janji Allah SWT, dan janji Allah itu pasti.

Jodoh pertemuan samalah seperti ajal maut dan rezeki, kesemuanya adalah ketentuan atau takdir Allah SWT di mana manusia tidak berhak untuk memilih dan mengubahnya. Manusia tidak boleh memilih siapa ayah dan ibunya dan bila ia mahu dilahirkan, ini juga termasuk dalam jodoh. Manusia juga tidak boleh memilih untuk dilahirkan dalam keluarga yang kaya kerana rezeki itu takdir Allah. Begitu juga dengan ajal maut seperti dalam firman Allah yang bermaksud:
“Di manapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu berada dibenteng yang tinggi dan kukuh” (An-Nisa’ 4:78)
“… Katakanlah (Muhammad), niscaya orang-orang yang telah ditetapkan untuk mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh.” (Al-Imran 3:154)

Semua ini adalah ilmu Allah dan diluar pengetahuan manusia. Oleh itu manusia harus berusaha, bekerja dan bertawakal kepada Allah. Manusia mesti berusaha mencari rezeki, mesti berusaha menjaga kesihatan dan nyawa, begitu juga dengan jodoh, sudah ada di dalam ilmu Allah, tapi manusia mesti berusaha dan berikhtiar mendapatkannya sesuai dengan ketentuan-Nya.

Dalam pemilihan teman hidup, mungkin hampir semua akhwat meinginkan zauj mumtaz: Bakal murobbi, beriman, bertaqwa, mampu menerima tanggungjawab dakwah terhadap keluarga dan ummah, tempat berkongsi masalah dakwah dan peribadi, mantap dakwahnya, teguh pendirian, tajam fikiran, penyayang, setia dan banyak lagi ciri-ciri kesempurnaan. Tidak salah mengharap dan bercita-cita kerana ketenangan dan kebahagiaan rumah tangga hanya akan dapat dicapai jika ada pemimpin keluarga yang baik.

Mungkin begitu juga dengan ikhwah, mereka pun meinginkan bakal zaujah muntijah: Seorang murobbiyah yang akan menyokong suami dan mampu mendidik anak-anak kelak, tempat berkongsi masalah dakwah dan peribadi, mantap dakwah, teguh pendirian, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran, di rumah dia isteri di jalanan kawan, apabila suami buntu dia penunjuk jalan, dia umpama tongkat sibuta bila tiada satu kehilangan, dia ibarat simpanan ilmu semoga kekal untuk diwariskan.. Wah, kesimpulannya seperti lirik lagu ‘isteri solehah’.

Semua akhwat ingin jadi zaujah muntijah, semuanya.., tapi secara jujur diri ini tetap merasa gerun bila adanya ikhwah yang mengharapkan segala ciri kesempurnaan itu, mungkin akhwat lain juga akan merasa gerun.

Kemungkinan begitu jugalah ikhwah, mereka juga akan merasa gerun bila mendengar segala ciri kesempurnaan yang dilafazkan oleh akhwat, walaupun mereka juga bercita-cita ingin menjadi zauj mumtaz. Maka, nanti semua ikhwah dan akhwat akan terfikir “Layakkah aku? Dengan diri aku sekarang?”, “Kalau mcm nilah harapan, nampak gayanya aku tak layak nikah ni”.

Teringat satu peristiwa dahulu, ketika di dalam perjalanan menaiki kereta. Seorang akhwat ni tak henti-henti bercakap. Memang akhwat ni jenis yang tak reti duduk diam, mesti nak cakap jugak.. ada je tajuk yang nak diperkatakan. Oleh kerana akhwat sorang ni tak habis-habis bercakap, seorang lagi akhwat lain yang berada dalam kereta yang sama, mula berkata dengan nada bergurau “Anti ni, tak berhenti-henti bercakap dari tadi, tak penat ke?.. mesti nanti anti dapat zauj yang pendiam kan” (lebih kurang macam nilah ayat dia). “isshhh mesti. Kalau tak, riuh rendahla rumah nanti” kata akhwat yang lain lg.

Ya, ramai yang tahu mungkin sahaja berlakunya perbezaan sikap diantara suami isteri nanti. Hampir pasti adanya sikap kontra, dan mungkin sikap kontra antara suami isteri inilah yang akan menjadi pelengkap antara satu sama lain. Jika si isteri sikapnya agak emosi, manakala si suami sikapnya agak rasional, maka si suami adalah pelengkap kepada kelemahan si isteri, kemudian si isteri akan belajar untuk bersikap lebih rasional hasil daripada didikan suaminya. Jika si suami bersikap agak egois dan sukar menerima pendapat, manakala si isteri pula bersikap lembut dan bertolak ansur, maka si isterilah yang akan menjadi pelengkap kepada kelemahan suaminya, dan nanti suaminya akan belajar untuk lebih bertolak ansur hasil daripada didikan isterinya. Jika si isteri seorang yang suka bercakap, manakala si suami seorang yang pendiam, maka masing-masing adalah pelengkap di atas kelemahan diri masing-masing. Ada bagusnya, kalau tak, riuh rendahlah rumah nanti (seperti kes diatas), walaupun mungkin agak sukar untuk ‘ngam’.

“…Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (An-Nisa,4:19)

Ada akhwat yang dah bernikah dan ada juga yang belum bernikah memberi nasihat, bahawa perkara yang paling utama antara suami isteri ialah komunikasi. Tidak wujudnya kebahagian dan kegembiraan yang kekal sehingga ke usia tua antara suami isteri kerana gagalnya mereka berkomunikasi, terutamanya dalam menguruskan perbezaan sikap antara mereka.

Ana ingat lagi satu nasihat yang diberikan oleh seorang akhwat yang sudah bernikah apabila ana meminta dia berkongsi sesuatu tentang kehidupan setelah berumahtangga. Akhwat itu memberi nasihat, katanya, “kita harus lebih banyak memberi daripada mengharap dan meminta, kerana boleh jadi diri kita tidak seperti yang ikhwah itu harapkan. Mungkin ikhwah itu mengharapkan bakal zaujah yang manja tapi mungkin akhwat itu bukan seorang yang manja malah tegas. Sama jugalah mungkin akhwat itu mengharapkan bakal zauj yang romantic, tapi ikhwah itu bukan seorang yang romantic seperti yang diharapkan”. Nasihatnya agak simple, tapi membawa maksud yang sangat dalam. Walaupun sudah seringkali di baca di dalam buku, tapi maksudnya akan lebih nyata terasa bila akhwat sendiri, rakan seperjuangan yang menyampaikannya. Satu pengajaran untuk kita, kerana boleh jadi dari segi gerak kerja dakwah pasangan kita memang hebat, tapi dari segi sikap dalaman tidak seperti yang kita harapkan (cthnya, tidak manja, tidak romantic, tidak lembut dll bergantung kpd kehendak individu) atau sebaliknya.

Namun, setiap orang harus berusaha dan berikhtiar untuk medapatkan pasangan hidupnya sesuai dengan ketentuan Allah SWT. Setiap orang boleh memilih siapa yang ingin dinikahinya, tapi keputusan muktamad tetap ditangan Allah SWT, sesuatu yang sudah tercatat di Lauh Mahfuz. Usaha tetap perlu, samada menyerahkan sepenuhnya pemilihan jodoh kepada orang tengah yang terpecaya atau ibubapa, ataupun memilih sendiri pasangan. Jika dia sudah menjumpai seseorang yang dirasakannya adalah yang terbaik untuk dirinya dalam mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat, maka teruslah melamar. Walaupun dia seorang wanita, kerana bukankah Khadijah r.a, yang pertama-tama sekali melamar Rasulullah SAW? Ini adalah satu usaha yang dibenarkan oleh Allah SWT, menunjukkan kita boleh memilih apa yang dirasakan terbaik untuk diri kita, tetapi tetap beriman dengan qada dan qadar-Nya.

Persediaan ke alam pernikahan itu sangat perlu. Jika kita mengharapkan segala ciri-ciri kesempurnaan terhadap bakal pasangan kita nanti, maka sesungguhnya tiada manusia yang sempurna. Kita refleksi diri kita semula, jika kita mengharapkan kesempurnaan, adakah diri kita sudah cukup sempurna? Oleh itu, kitalah (ikhwah ataupun akhwat) yang harus dahulu bersedia, bukannya hanya mengharapkan bakal pasangan (yang mungkin masih belum diketahui siapa) yang bersiap sedia cukup lengkap dengan segala ciri kesempurnaan agar kelak boleh mendidik dan menyokong kita. Sepatutnya, kita yang berusaha dahulu supaya menghampiri kesempurnaan, apabila sudah cukup bersedia, bila sudah tiba waktunya untuk bernikah, maka ketika itulah nanti kita mengharapkan agar pasangan kita itu akan menjadi pelengkap kepada diri kita, kita menjadi pelengkap kepada dirinya, saling menampung segala kekurangan, kelemahan dan bebanan. Kita harus sedar dirinya tidak mungkin akan sempurna, diri kita juga tidak mungkin akan sempurna, kerana bila cincin sudah disarung ke jari nanti, maka kita mahupun si dia, masing-masing akan memulakan satu titik baru dalam proses pembelajaran.

Semua yang diatas adalah pendapat/fikrah semata-mata…. Pengalaman? jauh sekali.... Amboi… bestnya berkata macam dah pakar je.. huh, pakar? Pun jauh sekali.. maaflah ye.. hehe (“,) just pendapat semata-mata, teori tidak sama dengan praktikal, dan praktikal tidak semudah teori.. tapi tanpa teori mana mungkin akan dapat melahirkan praktikal.. huh, apa yang ditulis adalah peringatan untuk diri sendiri terutamanya.. Wallahualam..
"Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan" (As-Saff, 61: 2-3)

1 comment:

Unknown said...

;-)

setiap yang ditentukan pasti ada hikmahnya.....