Friday, September 26, 2008

Jejak Rasul tv 3: Rihlah Ibnu Batutah.

Ana jarang sekali menonton tv, lagipun remote control tv bukan ana yang control. jadi untuk langkah selamat ana lebih suka mengelak, dan menghabiskan masa lapang dengan melayari internet sahaja. Jejak rasul adalah satu siri tayangan yang baik, cuma waktu tayangannya agak kurang sesuai bagi mereka yang tinggal di Sabah kerana waktu itu masing-masing sibuk menyediakan juadah berbuka. Dan baru ana terlihat iklan siri tv terkenal, Jejak Rasul 14, di mana skop cerita bulan ramadhan kali ini ialah tentang Rihlah Ibnu Batutah (pengembaraan Ibn Batutah).

Bila mendengar rihlah Ibn Batutah, ana sepertinya teringat sesuatu, teringat tentang adanya kritikan2 ulama tentang rihlah Ibn Batutah, tapi ana tak ingat di mana dan dari mana ana mendengarnya, dan apa kritikan yang telah diberikan. Ana kmdn mencari jawapan melalui internet, Alhamdulillah ana menemui jawapannya melalui artikel yang ditulis oleh Dr Asri Zainul Abidin. Akan ana sertakan artikel tersebut.

Di sini, bukan niatnya mahu mengkritik rancangan Jejak Rasul tersebut, kerana ana sendiri belum pernah menontonnya, iklan sahaja yang ditonton. Akan ana menontonnya kelak, InsyaAllah. Cuma ingin berkongsi ilmu, agar kita mempu membedakan yang baik dan yang buruk.

Kontraversi Dakwaan Ibn Batutah Terhadap Ibn Taimiyyah

Oleh: Dr Asri Zainul Abidin. http://drmaza.com/home/?p=57

Sekali saya katakan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h telah pun pergi menemui Allah sejak tujuh ratus tahun lalu. Hidupnya dahulu dibaluti dengan perjuangan yang penuh ikhlas. Para ulama hadith dan mereka yang mengenalinya memuji dan menghormatinya, seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan ini, bahkan lebih dari itu. Sesiapa yang menghina dan mencerca Ibn Taimiyyah di zaman ini, akan berdiri bertanggungjawab di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil di akhirat. Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala perkataaan yang dilempar kepada tokoh ulama yang mulia itu, yang menyampaikan ilmu, menulis, berjihad dengan pedang menentang tentera kuffar Monggol dan berbagai jasanya yang tidak mampu disukat. Semoga Allah memelihara kita semua dari kegelinciran. Adapun Ibn Batutah, itu adalah urusan dia dengan Allah.

Saya ditanya tentang buku Rihlah Ibn Batutah. Khasnya berkaitan tohmahan buku ini terhadap Ibn Taimiyyah. Lalu kisah yang berbentuk tohmahan itu dijadikan alasan oleh sesetengah pihak untuk mencerca Ibn Taimiyyah. Ramai pula yang menjadi keliru. Apatah lagi buku ini sedang laris di pasaran dan dibeli oleh mereka yang meminati agama.
Saya katakan, pada asasnya, membaca berbagai bahan adalah suatu tabiat yang baik. Orang yang luas pembacaannya, luas juga pandangannya. Namun bagi setiap buku ada penilaian terhadapnya, terutamanya di sudut ketepatan dan kebenaran. Tulisan ini saya tulis secara ‘segera’ dan ringkas mengulas mengenai buku tersebut, khasnya mengenai tohmahan Ibn Batutah r.h. terhadap Ibn Taimiyyah r.h.

Ibn Batutah r.h menjadi terkenal kerana karya mengenai kembaranya yang dikenali dengan nama Rihlah Ibn Batutah. Dalam tulisan tersebut dicatatkan sejarah atau kisah pengembaraan dan pelayaran beliau ke berbagai negera. Tulisan itulah membawa beliau dikenali. Di samping menghargai karya tersebut, kita juga perlu akur bahawa terbukti dalam beberapa hal karya tersebut kurang teliti dan amanah. Apatah lagi Ibn Batutah -semoga merahmatinya dan mengampuninya- bukan terdiri di kalangan ahli periwayataan yang dipegang.
Banyak perkara yang disebutkan dalam karya tersebut mendedahkan adanya unsur ketidak telusan dalam menghidangkan sesuatu kisah. Justeru itu kita dapati, catatan tersebut tidak dianggap sebagai rujukan muktabar dalam bidang sejarah. Ramai pengkaji dan muhaqqiq mengkritik dan membongkarkan penyelewengan fakta yang terkandung dalamnya.
Antara muhaqqiq Hasan al-Saih ketika memberi aluan kepada kitab Taj al-Mafriq fi Tahliyyah ‘Ulama` al-Masyriq menyatakan bahawa Ibn Batutah kemungkinan hanya mendengar nama tokoh-tokoh ulama tertentu di negeri-negeri yang dilawati, lalu dia menyebut nama mereka seakan-akan dia benar-benar berjumpa sekalipun dia tidak bertemu sendiri dengan mereka. Sebaliknya sekadar mengambil cerita daripada orang lain.

Kisah kembara Ibn Batutah yang ditulis itu, mempunyai banyak cerita-cerita yang bersifat dongeng yang digambarkan seakan Ibn Batutah melihatnya sendiri. Antaranya cerita dia melawat beberapa pulau dan negeri yang wanita-wanitanya hanya mempunyai satu buah dada.
Dalam buku Hayat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, penulisnya iaitu tokoh ulama Syam terbilang Muhammad Bahjah al-Baitar menyatakan bahawa buku kembara Ibn Batutah penuh dengan cerita pelik lagi tidak masuk akal dan palsu. Cerita ini diambil daripada orang ramai yang dia dengar di negeri-negeri yang di kunjungi, tanpa sebarang penilaian. Umpamanya beliau menyatakan di tengah Masjid Umawi di Damsyik ada kubur Nabi Zakaria a.s., sedangkan yang diketahui ianya adalah kubur Yahya a.s.

Juga dakwaannya kononnya dia membaca di dalam Fadail al-Dimasyq daripada Sufyan al-Thauri bahawa solat di Masjid Damsyik sama dengan pahala tiga puluh ribu solat. Kita tahu bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibuat dengan andaian akal. Orang yang seperti Sufyan al-Thauri tidak akan membuat dakwaan seperti ini yang tidak mempunyai sebarang dalil. Dakwaan ini telah melebihkan Masjid Damsyik ke atas Masjid Nabi dan Masjid al-Aqsa. Kedua-dua masjid tersebut pun tidak sampai ke darjat yang seperti ini. Mustahil tokoh hadith dan warak seperti Sufyan al-Thauri membuat dakwaan ini, melainkan satu pembohongan terhadapnya. Apatah lagi Masjid Damasyq belum wujud pada zaman Nabi s.a.w.

Bahkan Ibn Batutah mengakui fadilat bernazar untuk kubur-kubur utama jika seseorang dalam kesusahan dipukul angin kencang di tengah lautan. Sedangkan dalam keadaan tersebut golongan musyrikin pun akan terus berdo`a kepada Allah tanpa sebarang syirik. Malangnya Ibn Batutah dapat menerima dan mengakui nazar yang seperti ini. Firman Allah (Surah al-`Ankabut: 65): (terjemahannya): Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan ikhlas semata-mata kepadaNya agama. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.

Ada kemungkinan ketidak telusan itu bukan berpunca dari Ibn Batutah r.h. (semoga Allah merahmatinya) itu sendiri. Barangkali telah berlaku penyelewengan terhadap tulisan beliau. Ini mungkin datang dari penyalin semula tulisan tersebut. Jika diteliti, sebenarnya orang yang menulis buku Rihlah Ibn Batutah yang ada di tangan kita sekarang bukanlah Ibn Batutah sendiri.

Orang yang menulis buku tersebut ialah Ibn Juzzi al-Kalbi, seorang penulis dari Maghribi yang memberikan pendahuluan yang panjang untuk buku tersebut. Justeru itu pada awal tulisannya, setelah memuji Allah, beliau telah memuji sultannya iaitu Abu ‘Inan, pemerintah Fas, Maghribi. Beliau menyifatkan sultannya sebagai “bayangan Allah yang memanjang untuk manusia, tali Allah yang mesti dipegang, mentaatinya adalah digabungkan diri..” sehinggalah beliau menceritakan bagaimana Ibn Batutah bertemu dengan sultan tersebut.

Pada akhir buku tersebut beliau menyebut perkara yang benar-benar menimbulkan keraguan, iaitu “inilah apa yang aku ringkaskan dari coretan al-Syeikh Abi ‘Abd Allah Muhammad bin Batutah”. Kenyataan ini menunjukkan bahawa buku asal memang ditulis oleh Ibn Batutah. Cuma yang ada di tangan kita ialah ringkasan dan suntingan.

Lebih dari itu, ia juga menunjukkan bukan Ibn Batutah yang menceritakan secara langsung kepada Ibn Juzzi, sebaliknya beliau mengambil dari nashkah Ibn Batutah dan meringkas atau menyuntingkannya. Justeru itu tokoh pengkaji manuskrip Dr. Yusuf Zaidan menyatakan: “Bukan sesuatu yang tepat untuk menyatakan bahawa Ibn Batutah sebagai penulis (buku tersebut)..” (lihat: Dr Yusuf Zaidan, Al-Janib al-Dablumasi fi Rihlatai: Ibn Batutah wa Khair al-Din al-Tunusi, http://www.zeidan.com/).

Sama ada Ibn Juzzi al-Kalbi atau Ibn Batutah sendiri, yang pasti buku tersebut banyak unsur ketidak telusan faktanya. Antara ketidak telusan buku tersebut, dakwaannya terhadap Ibn Taimiyyah r.h. kononnya: “Ketika aku berada di Damsyik, aku menghadiri Ibn Taimiyyah pada hari Jumaat. Ketika itu dia sedang menasihati dan mengingatkan orang ramai di atas mimbar Masjid Damsyiq. Antara ucapannya: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti aku turun ini”, dan dia pun turun satu tangga demi satu tangga mimbar”.

Banyak pihak yang kurang cermat telah terpengaruh dengan cerita bohong ini. Mereka menjadikannya alasan untuk memfitnah Ibn Taimiyyah kononnya beliau menyamakan Allah dengan dirinya. Sebahagian mereka mewarisi perkara ini tanpa sebarang kajian. Mereka menuduh Ibn Taimiyyah r.h. sedangkan mereka tidak pernah pun meneliti tulisan-tulisannya yang menjadi khazanah ilmu Islam yang dipakai hampir di seluruh pusat pengajian Islam di dunia sekarang. Mereka menerima tohmahan terhadap seorang tokoh agung hanya semata disebabkan catatan seorang pengembara tanpa sebarang kepastian.

Para ulama yang ikhlas telah bangun menjawab fitnah Ibn Batutah ini. Antaranya apa yang ditulis Muhammad Bahjah al-Baitar dalam bukunya “Hayat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah”. Antara jawaban beliau yang panjang lebar itu:

-Ibn Batutah sebenarnya tidak mendengar perkara tersebut daripada Ibn Taimiyyah sama sekali. Ia hanyalah satu pembohongan. Buktinya, dalam catatannya, beliau sampai ke Damsyik pada hari Khamis, 19 Ramadhan tahun 726H, sedangkan Ibn Taimiyyah telah dipenjarakan pada awal bulan Sya’ban tahun tersebut, dan terus berada dalam penjara sehingga meninggal pada malam Isnin 20 Zul Qaedah tahun 728H. Bagaimana mungkin Ibn Batutah melihatnya?.
-Ibn Taimiyyah tidak pernah menjadi khatib Masjid Damsyik, seperti yang didakwa oleh Ibn Batutah. Beliau tidak pernah memberi nasihat atau kuliahnya kepada orang ramai di atas mimbar masjid tersebut. Beliau hanyalah memberikan kuliah pengajiannya di atas kerusi sahaja. Ini seperti yang disebut oleh anak-anak muridnya yang menulis sejarahnya, antara mereka al-Imam Zahabi.

-Tulisan-tulisan Ibn Taimiyyah menafikan hal ini. Antaranya pegangan Akidah Ibn Taimiyyah yang dipetik oleh Ibn Nasir al-Din al-Syafi’i dalan al-Radd al-Wafir: “Mazhab Salaf, para imam yang empat dan selain mereka ialah menithbatkan (menetapkan sifat Allah) tanpa tasybih (menyerupakan dengan sesuatu), mensucikanNya tanpa ta’til (menghilangkan fungsi sifat). Tidak boleh bagi seseorang meletakkan sesuatu pegangan atau `ibarah (huraian atau rangkaian ucapan) daripada dirinya sendirinya. Bahkan dia hendaklah mengikut dalil bukan membuat bid`ah”.

Di sana ada lagi jawapan-jawapan yang dinyatakan oleh al-Syeikh Muhammad Bahjah al-Baitar, sesiapa yang inginkan pendetilan dia boleh merujuk kepada kitab tersebut.

Demikian juga muhaqqiq Rihlah Ibn Batutah sendiri, Dr. ‘Ali al-Muntasir mengulas kisah tersebut: “Ini semata-mata pembohongan terhadap al-Syeikh Ibn Taimiyyah. Beliau ditangkap di Penjara Damsyik sebulan sebelum ketibaan Ibn Batutah. Sejarawan telah sepakat bahawa dia dikurung di Penjara Damsyik kali yang akhir pada 6 Sya’ban tahun 726H dan tidak keluar melainkan setelah meninggal. Sedang Ibn Batutah menyebut dalam kitabnya dia sampai ke Damsyik pada 9 Ramadhan”.

Setelah kita mengetahui hal ini, apakah wajar kita menerima sesuatu cerita yang mentohmah seorang muslim, apatah lagi seorang sarjana muslim hanya semata-mata disebabkan berita yang dipertikaikan. Lupakah kita kepada firman Allah: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara jahil, lalu kamu akan menyesal”.
Al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) dalam kitabnya `Ulum al-Hadith: “Entah berapa ramai di kalangan ulama yang telah melangkah kaki mereka di dalam syurga sejak seratus atau dua ratus tahun yang lalu, sedangkan kamu menyebut dan mengumpat mereka”. Apakah boleh kita terima cerita seorang pengembara dengan melupai apa yang disebut oleh tokoh-tokoh agung umat mengenai Ibn Taimiyyah. Mereka memuji dan menyebut keagungan ilmunya. Antaranya:

- Al-Hafizd al-Zahabi tokoh agung dalam Ilmu Hadith -yang juga merupakan murid Ibn Taimiyyah- menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadith. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syeikh al-Islam, antara katanya: “Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadith), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah Syeikh al-Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang”.

- Al-Hafizd Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Al-Durar al-Kaminah `Ali menceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah itu, sehingga beliau menyebut:”Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya”. Sehinggalah Ibn Hajar menyebut: “Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya..” sehinggalah beliau megelarnya sebagai “Syeikh al-Islam”.

- al-Imam Sayuti yang memasukkan Ibn Taimiyyah dalam senarai huffaz hadith (para hafiz hadith), dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz. al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut: “Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,..salah seorang tokoh terbilang..memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan..”
Banyak lagi pujian untuk Ibn Taimiyyah oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam jika ingin dipetik. Apakah patut mereka memujinya jika dia benar-benar mengucapkan seperti apa yang disebutkan oleh Ibn Batutah??! Apakah mereka yang merupakan sejarahwan besar tidak sampai kepada mereka kisah yang disebut oleh Ibn Batutah, sedangkan kisah itu berlaku di khalayak ramai??!. Ini hanyalah senarai dongengan dan khayalan kembara Ibn Batutah semata!!!

Lihat apa kata para pengkaji Ibn Taimiyyah zaman kini, antaranya Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah “Sesungguhnya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan sunnah, aqidah ahli sunnah, al-khulafa al-rasyidin dan para sahabah yang mulia r.a.”

Demikian juga tokoh yang banyak mengambil manfaat dari karya Ibn Taimiyyah Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut dalam bukunya Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah: “Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku”.
Saya pernah menyebut dan saya ulangi di sini sebenarnya, golongan yang ingin supaya orang ramai menghukum Ibn Taimiyah sesat, kufur dan seumpamanya itu sedar, bahawa jika langkah ini berjaya maka sebahagian besar tokoh-tokoh umat dapat dileburkan, dan khazanah umat dapat dihancurkan. Antara murid terbesar Ibn Taimiyyah ialah al-Imam Ibn Kathir, yang terkenal dengan Tafsir al-Quran al-`Azim atau dikenali dengan Tafsir Ibn Kathir. Bacalah buku al-Tafsir wa al-Mufassirun, karangan al-Syeikh Husain al-Zahabi, dalamnya diceritakan bagimana Ibn Kathir begitu mencintai gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan banyak berpegang dengan fatwanya. Kemunculan al- Imam Ibn Kathir, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan lain-lain adalah antara sumbangan besar Ibn Taimiyyah dalam bidang kesarjanaan Islam. Musuh-musuh ahli sunnah mengetahui hal ini, mereka berusaha merobohkan khazanah ini.

Al-Nadwi juga menyebut perkara ini dengan katanya: “Ahli bid`ah dan hawa nafsu yang dahulu cuba untuk menonjolkan diri sebagai bermazhab ahli sunnah, untuk menipu para pemerintah dan hakim (agar menangkap Ibn Taimiyah). Sebaik sahaja berjaya penipuan mereka, maka nampaklah kejahatan mereka pada orang ramai dan mulalah mereka menonjol dan tidak bersembunyi lagi”.

Sekali saya katakan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h telah pun pergi menemui Allah sejak tujuh ratus tahun lalu. Hidupnya dahulu dibaluti dengan perjuangan yang penuh ikhlas. Para ulama hadith dan mereka yang mengenalinya memuji dan menghormatinya, seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan ini, bahkan lebih dari itu. Sesiapa yang menghina dan mencerca Ibn Taimiyyah di zaman ini, akan berdiri bertanggungjawab di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil di akhirat. Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala perkataaan yang dilempar kepada tokoh ulama yang mulia itu, yang menyampaikan ilmu, menulis, berjihad dengan pedang menentang tentera kuffar Monggol dan berbagai jasanya yang tidak mampu disukat. Semoga Allah memelihara kita semua dari kegelinciran. Adapun Ibn Batutah, itu adalah urusan dia dengan Allah.

No comments: